Tuesday, September 13, 2016

Kumpulan Bahasa dan Skrip Bahasa

Di negara India, terdapat lebih kurang 325 bahasa dan 750 loghat tetapi hanya 14 bahasa utama diperakui menurut perlembagaan. Lebih kurang 87 peratus daripada rakyat India menggunakan 14 bahasa utama ini. Bahasa-bahasa tersebut dan peratus penggunaannya ialah bahasa Hindi (30%), Telugu (9%), Bengali (8%), Marathi (8%), Tamil (7%), Urdu (5%), Gujarati (5%), Kannada (4%), Malayalam (4%), Punjabi (3%), Assam (2%), Oriya (1%), Kashmiri (1%) dan lain-lain (13%). Bahasa-bahasa di India dibahagikan kepada dua rumpun keluarga bahasa iaitu bahasa-bahasa Indo Arya dan bahasa-bahasa Dravida.
Mengenai bahasa Indo-Arya, bentuk asli bahasa ini terdapat dalam bahasa Sanskrit. Apabila orang-orang Indo-Arya meluaskan kawasan sehingga ke Lembah Ganges dan ke timur, perbezaan loghat tempatan (bersifat daerah) membawa perubahan dalam bahasa Sanskrit. Pada tahun 800SM, bahasa Sanskrit mengalami perubahan fonologi dan morfologi sehingga wujudnya loghat- loghat baru zaman pertengahan seperti Prakrit, Pali, Shauraseni, Magadhi dan lain-lain. Pada zaman Buddha (500SM), loghat-loghat ini dianggap sebagai bahasa-bahasa tempatan yang dihubungkan dengan kawasan geografi masing- masing. Bahasa-bahasa ini menjadi awalan (precursors) kepada bahasa-bahasa tempatan yang digunakan sekarang. Bahasa-bahasa dalam kumpulan ini termasuklah Assamese, Bengali, Gujarati, Hindi, Kashmiri, Marathi, Oriya, Punjabi, Sanskrit, Urdu, Rajastam dan Sindhi.
Mengenai bahasa Dravida, bahasa Dravida kuno digunakan oleh beberapa puak seperti Toda. Bahasa-bahasa Dravida termasuklah Tamil, Malayalam, Kannada, Telegu dan juga Gondi (Madhya Pradesh), Brahui (Baluchistan), Kaudh atau Kui (Orissa) dan di kalangan puak-puak Toda dan Kota.
Selain daripada kumpulan bahasa Indo-Arya dan bahasa Dravida terdapat juga kumpulan bahasa Munda yang digunakan terutama di kawasan pergunungan di Bengal dan Bihar (Kherwari), Orissa Quang) dan Madhya Pradesh (Kurku). Contoh kumpulan bahasa Tibet-Burma ialah Ladakhi di Kashmir dan Garo, Tripura Naga dan Kuku Chin di Assam. Bahasa-bahasa yang belum diklasifikasikan termasuklah Burushaski di Kashmir Utara dan Andamanese di kepulauan Andaman.
Dokumen bertulis yang tertua sekali ialah inskrispsi-inskripsi Zaman Asoka (kurun ke-3 S.M.) yang menggunakan skrip Kharosthi. Skrip ini juga digunakan di Parsi dan di barat laut India, dan kemudiannya tidak digunakan selepas kurun ke-3. Skrip Parsi-Arab yang diperkenalkan oleh orang-orang Muslim dari Arab dan Parsi masih digunakan dalam bahasa Urdu moden. Bentuk arah tulisannya ialah dari kanan ke kiri dan ia menggunakan beberapa vokal sahaja. Tetapi kebanyakan skrip-skrip India mempunyai asal-usul dalam skrip Brahmi kerana adaptasinya kepada pelbagai bunyi bahasa-bahasa India. Selain daripada bentuk lama Brahmi terdapat juga skrip India Utara, iaitu skrip Devanagari yang menggunakan garis di atas perkataan untuk menyambung huruf-huruf. Sanskrit, Prakrit, Hindi, Marathi dan variasi-variasi tempatan seperti Punjabi, Oriya, Gujarati dan Bengali menggunakan skrip ini. Skrip yang digunakan di India Selatan mengambil bentuk yang berlainan, iaitu huruf-
hurufnya mempunyai perhiasan bulat. Orang-orang Tamil mengembangkan huruf-huruf mereka tersendiri.

4 comments: